Thursday, July 24, 2008

Erti Cinta

Erti CINTA kepada sahabat yang...Single/Solo/ Kesepian. ......

Cinta adalah seperti seekor rama-rama, semakin kita mengejarnya, semakin jauh ia terbang meninggalkan kita. Biarkan 'rama-rama' itu terbang kemana saja ia suka. Siapa tahu, bila telah letih dan tidak sedar akan kewujudanmu, ia bakal mengibaskan sayapnya kearahmu, menumpang teduh dari panas hujan badai duniawi dalam keadaan yang tidak anda sangkakan. Mungkin sahaja 'rama-rama' yang anda kejar itu, bukan 'rama-rama' yang Allah tentukan untukmu.

Cinta membuatkan kita bahagia, tetapi hakikatnya cinta itu melukakan. Digenggam kita luka, dilepas kita hiba. Cinta yang membahagiakan, bila ia dikembalikan pada Allah, dan dicurahkan pada yang berhak. Jangan terburu-buru, perlahankan rentakmu, semoga Allah mengetuk pintu hatimu dengan cinta yang tulus. Ameen ya Rabb........

Dan siapa tahu, cinta itu tidak sampai kepadamu, kerana mungkin anda tidak mampu memikul beban cinta tersebut. Itu petanda Allah sayangkan diri anda. Mungkin sahaja Allah ingin mengelakkan anda terjerumus dari maksiat-maksiat cinta yang banyak menyebabkan manusia dihumban ke neraka Jahannam...Nauzubillah..


Erti Kepada sahabat-sahabat yang "Not So Single"/"Sudah Berpunya"

Cinta itu satu ujian. Selamanya anda bercinta, anda diuji dengan ujian-ujian yang getir. Anda mungkin tidak menyedari kehebatan ujian yang Allah sediakan saat anda menyambut cinta seseorang. Tapi ketahuilah, pandangan mata, pengucapan kata, luahan hati, khayalan-khayalan saat anda menunggu mata untuk lelap, lintasan-lintasan perasaan yang halus, setiap angan-angan, setiap baris sms dan segala yang anda lalui bersama'nya' adalah satu ujian dari Allah. Bagaimana anda mengarahkan cinta yang Allah anugerahkan itu agar Dia tidak melaknatmu, agar cinta itu bebas dari noda dan dosa?

Jangan pernah terangsang dengan cinta romantik dari barat. Setiap dari kita perlu menjawab dihadapan Allah kelak. Semoga cinta yang dilontarkan pada hati-hati kita bakal mendekatkan kita pada Rabbul Izzati.. Ameen ya Rabb.....

Saat cinta itu ditarik dari lubuk hatimu atau hatinya, ketahuilah bahawa ada hikmah disebalik segala perancangan Allah. Mungkin saja Allah lontarkan sekelumit perasaan benci itu sebagai ujian, atau mungkin saja kerana dia bukan lagi jodohmu. Redhalah.. semoga Allah redha padamu.


Erti Kepada sahabat-sahabat yang "Play Girl, Play Boy.."

Jangan pernah mengucapkan kata-kata cinta jika anda tidak merasainya.

Jangan pernah berkisah tentang perasaanmu yang indah tapi palsu, jika ianya tidak ada disana.

Jangan pernah menyentuh kehidupannya, jika yang anda niatkan hanya untuk merosakkan hatinya.

Jangan pernah membuatnya jatuh cinta padamu, jika anda tidak mampu menyambutnya.


Erti Kepada sahabat-sahabat yang telah berkahwin..

Semoga Allah melimpahkan rahmat pada anda dengan zuriat yang ramai. Semoga zuriat anda bakal menjadi penyambung lidah Nabi, menjadi para pejuang agama, meredah taufan menongkah arus. Semoga jodoh anda berpanjangan, dan semoga anda menjadi tongkat kepada pasangan-pasangan anda. Semoga segala khilaf di dalam rumahtangga anda menjadi 'murabbi' kehidupan yang fana ini. Semoga lidah anda fasih memohon maaf dan bisu dari berkata kasar. Semoga anda dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, serta diakhiri dengan pengakhiran yang baik. Ameen Ya Rabb...


Erti Kepada sahabat-sahabat yang sedang Berpatah Hati/Brokenheart

Kelukaan hati cuma berlarutan/berpanjangan.. selama mana anda membiarkan hati anda merasakan sedemikian. Kedalaman luka hati anda, akan berterusan selagi mana anda membiarkan pisau itu menghiris hati anda. Cabarannya bukan saja bagaimana anda bangkit dari luka itu, tapi bagaimana anda melihat luka hati anda dari sisi yang lain, dan bagaimana anda mengambil pengajaran dan tauladan dari apa yang berlaku. Biawak tidak akan jatuh pada lubang yang sama dan pisang tidak akan berbuah dua kali, melainkan jika anda benar-benar bodoh dan tidak siuman.

Perasaan yang hiba, sendu yang berpanjangan, penyesalan yang menggunung, mungkin itu kafarah dari dosa-dosa yang anda lakukan sewaktu anda dibuai dengan perasaan cinta yang indah. Itu juga satu ujian, bagaimana anda berlapang dada dengan apa yang terjadi, dan bersegera kembali pada Allah dan muhasabah diri anda. Sabar itu adalah kunci segala pintu yang tertutup.


Erti Kepada sahabat-sahabat yang Naive/Tidak pernah bercinta/Ragu- ragu dengan Cinta....

Jatuh cinta, tapi jangan pernah bercinta. Keduanya berbeza, laksana langit dan bumi. Konsisten dengan perasaanmu. Banyakkan beristighfar, dan jangan terlalu persistant. Berkongsi sejauh mana syariat Allah membenarkan, dan pintalah sejauh mana syariat Allah mengizinkan. Memahami pengertian cinta, bukan daripada musuh-musuh Allah tetapi dari pengertian sebenar mengikut ajaran Al-Quran dan Sunnah. Saat cinta menusuk sukmamu, mekar mewangi dalam jiwamu, carilah penawarnya didalam helai-helaian Qalamullah dan bukan daripada deretan sms. Ubatnya ada didalam kisah-kisah cinta Rasulullah dan para sahabat, bukan didalam kisah-kisah cinta Romeo dan Juliet yang direka oleh sang kuffar.

Ingat sekali lagi, cinta itu satu anugerah, jangan pernah lupa, segalanya adalah UJIAN. Pegang erat Quran dan Sunnah, InsyaAllah cinta itu kukuh dan tidak membinasakan.


Moralnya

Kepada sahabat sekalian..

Doa saya buat anda semua, semoga anda dianugerahkan calon acuan Al-Quran, yang dengan cintanya anda semakin bersemangat, semakin gigih berusaha dan bekerja untuk Islam. Mungkin anda tidak cinta padanya, tetapi saya doakan, bukannya anda mendapat cinta seperti idaman hati anda, tetapi mendapat cinta orang-orang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih dari cintanya pada anda. Semoga cinta itu bisa menyelimuti kita semua dari panas api neraka Allah.. Ameen ya Rabbal Alamin...


"Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok...Jika datangnya dari kayu yang bengkok "

Wednesday, July 23, 2008

Jodoh Anda

Renunglah sejenak....

Jika selepas ini ada lagi yang bertanya soalan "Bila nak kawin?"
Jawapan di bawah ini boleh diberikan.Mungkin mereka akan berhenti bertanya soalan tersebut.

Renungkanlah sedalam-dalamnya...................

Tidak, JODOH tiada kaitan dengan keturunan. Hanya belum sampai masanya. Ia bagai meniti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya maka jauhlah perjalanan kita. Ada orang jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 tahun belum apa2 kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa-doa lewat sembahyang. InsyaAllah, Allah mendengar.

Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita jahat untuk lelaki yang jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr Right dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.

Memang kita mudah tersilap mentafsir kehidupan ini. Kita selalu menyangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.

Kita selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya orang itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tidak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang di tuju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tengah-tengah bandar raya.

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tapi deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik dan buruknya.

Demikian juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh Agama, Sunnah Nabi, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat di samping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus.

Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan Ijab dan Kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak? Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing-masing padahal dahulunya mereka
bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata?

Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri tidak usah berkahwin dulu.

Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu.

Jika rasa-rasa belum bersedia untuk bersabar dengan kerenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu.

Jangan berkahwin dahulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik.

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti tuntutan-tuntutannya.

Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan Syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan bagi yang
mengetahui rahsia-rahsianya.

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukan berkahwin kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang.

Moralnya

Terimalah teman anda seadanya..
Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk setiap umatNya..
Tidak perlu mencari teman secantik Balqis jika diri tak seindah Sulaiman..
Tidak perlu mengharap teman setampan Yusof jika diri tak setulus Zulaika..
tidak perlu mendamba teman hidup seistimewa Khadijah, jika diri tak sesempurna Rasullullah s.a.w......

Friday, July 4, 2008

Cinta dan Perkahwinan

Suatu pagi yang dingin, terjadilah satu perbualan antara seorang guru falsafah dan pelajarnya.. .

Pelajar: Guru, apakah erti cinta..? Bagaimanakah saya boleh mendapatkannya. ..?

Guru: Ada sebuah ladang gandum yang luas di depan sana. Berjalanlah kamu dan jangan sesekali kamu berundur. Kemudian ambillah satu ranting. Sekiranya kamu mendapati ranting tersebut sangat menakjubkan, ertinya kamu telah menemui cinta.

Pelajar tersebut pun berjalan dan tidak berapa lama dia kembali dengan tangan yang kosong.

Guru: Mengapa kamu tidak membawa sebatang ranting pun...?

Pelajar: Saya hanya terpaksa memilih satu ranting saja, dan sewaktu berjalan saya tidak boleh mengundur kebelakang semula. Sebenarnya saya telah berjumpa dengan satu ranting yang paling menakjubkan tapi saya tak tahu apakah yang akan menakjubkan di hadapan sana nanti, maka saya biarkan ranting itu lalu saya dapati tidak ada lagi ranting yang paling menakjubkan selain daripada yang saya lihat tadi. Jadi saya tidak mengambil sebatang pun akhirnya.

Guru: Itulah cinta...

Di hari lainnya pula pelajar tersebut bertanya kepada gurunya, apa itu perkahwinan. ..?

Guru: Ada hutan yang subur di depan sana. Berjalanlah kamu. tetapi janganlah kamu sesekali mengundur kebelakang. Tebanglah sepohon pokok saja. Dan tebanglah jika kamu merasakan bahawa pohon tersebut adalah yang paling cantik,segar dan tinggi, kerana kamu telah menemukan apa itu perkahwinan.

Pelajar tersebut pun berjalan, dan tidak berapa lama, dia datang semula dengan membawa sepohon kayu, walaupun pohon tersebut tidaklah berapa segar, cantik dan tinggi pada pandangan guru tersebut.

Maka gurunya pun bertanya: Mengapa kamu memotong pohon seperti ini....?

Pelajar itu menjawab: Sebab, berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, saya hanya berjalan separuh daripada hutan tersebut dan saya takut akan kembali dengan tangan kosong. Jadi saya mengambil kesempatan menebang pohon ini lalu dibawa kesini. Pada pandangan saya ianya adalah pohon yang terbaik buat saya. Saya tidak mahu kehilangannya atau menyesal kerana tidak memilihnya.. .

Maka guru itu menjawab: itulah perkahwinan.......

Kesimpulannya

Tak perlu mencari teman secantik Balqis jika diri tak seindah Sulaiman.
Mengapa mengharap teman setampan Yusof jika diri tak setulus Zulaika.
Mengapa mendamba teman hidup seistimewa Khadijah, jika diri tak sesempurna Rasullullah S.A.W......

Janganlah terlalu memilih, tiada manusia yang sempurna di dunia ini.
Dah jumpa yang berkenan dihati, jangan tunggu lama-lama..
Cepat-cepat kumpul duit kahwin dan langsungkan perkahwinan...