Thursday, July 24, 2008

Erti Cinta

Erti CINTA kepada sahabat yang...Single/Solo/ Kesepian. ......

Cinta adalah seperti seekor rama-rama, semakin kita mengejarnya, semakin jauh ia terbang meninggalkan kita. Biarkan 'rama-rama' itu terbang kemana saja ia suka. Siapa tahu, bila telah letih dan tidak sedar akan kewujudanmu, ia bakal mengibaskan sayapnya kearahmu, menumpang teduh dari panas hujan badai duniawi dalam keadaan yang tidak anda sangkakan. Mungkin sahaja 'rama-rama' yang anda kejar itu, bukan 'rama-rama' yang Allah tentukan untukmu.

Cinta membuatkan kita bahagia, tetapi hakikatnya cinta itu melukakan. Digenggam kita luka, dilepas kita hiba. Cinta yang membahagiakan, bila ia dikembalikan pada Allah, dan dicurahkan pada yang berhak. Jangan terburu-buru, perlahankan rentakmu, semoga Allah mengetuk pintu hatimu dengan cinta yang tulus. Ameen ya Rabb........

Dan siapa tahu, cinta itu tidak sampai kepadamu, kerana mungkin anda tidak mampu memikul beban cinta tersebut. Itu petanda Allah sayangkan diri anda. Mungkin sahaja Allah ingin mengelakkan anda terjerumus dari maksiat-maksiat cinta yang banyak menyebabkan manusia dihumban ke neraka Jahannam...Nauzubillah..


Erti Kepada sahabat-sahabat yang "Not So Single"/"Sudah Berpunya"

Cinta itu satu ujian. Selamanya anda bercinta, anda diuji dengan ujian-ujian yang getir. Anda mungkin tidak menyedari kehebatan ujian yang Allah sediakan saat anda menyambut cinta seseorang. Tapi ketahuilah, pandangan mata, pengucapan kata, luahan hati, khayalan-khayalan saat anda menunggu mata untuk lelap, lintasan-lintasan perasaan yang halus, setiap angan-angan, setiap baris sms dan segala yang anda lalui bersama'nya' adalah satu ujian dari Allah. Bagaimana anda mengarahkan cinta yang Allah anugerahkan itu agar Dia tidak melaknatmu, agar cinta itu bebas dari noda dan dosa?

Jangan pernah terangsang dengan cinta romantik dari barat. Setiap dari kita perlu menjawab dihadapan Allah kelak. Semoga cinta yang dilontarkan pada hati-hati kita bakal mendekatkan kita pada Rabbul Izzati.. Ameen ya Rabb.....

Saat cinta itu ditarik dari lubuk hatimu atau hatinya, ketahuilah bahawa ada hikmah disebalik segala perancangan Allah. Mungkin saja Allah lontarkan sekelumit perasaan benci itu sebagai ujian, atau mungkin saja kerana dia bukan lagi jodohmu. Redhalah.. semoga Allah redha padamu.


Erti Kepada sahabat-sahabat yang "Play Girl, Play Boy.."

Jangan pernah mengucapkan kata-kata cinta jika anda tidak merasainya.

Jangan pernah berkisah tentang perasaanmu yang indah tapi palsu, jika ianya tidak ada disana.

Jangan pernah menyentuh kehidupannya, jika yang anda niatkan hanya untuk merosakkan hatinya.

Jangan pernah membuatnya jatuh cinta padamu, jika anda tidak mampu menyambutnya.


Erti Kepada sahabat-sahabat yang telah berkahwin..

Semoga Allah melimpahkan rahmat pada anda dengan zuriat yang ramai. Semoga zuriat anda bakal menjadi penyambung lidah Nabi, menjadi para pejuang agama, meredah taufan menongkah arus. Semoga jodoh anda berpanjangan, dan semoga anda menjadi tongkat kepada pasangan-pasangan anda. Semoga segala khilaf di dalam rumahtangga anda menjadi 'murabbi' kehidupan yang fana ini. Semoga lidah anda fasih memohon maaf dan bisu dari berkata kasar. Semoga anda dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, serta diakhiri dengan pengakhiran yang baik. Ameen Ya Rabb...


Erti Kepada sahabat-sahabat yang sedang Berpatah Hati/Brokenheart

Kelukaan hati cuma berlarutan/berpanjangan.. selama mana anda membiarkan hati anda merasakan sedemikian. Kedalaman luka hati anda, akan berterusan selagi mana anda membiarkan pisau itu menghiris hati anda. Cabarannya bukan saja bagaimana anda bangkit dari luka itu, tapi bagaimana anda melihat luka hati anda dari sisi yang lain, dan bagaimana anda mengambil pengajaran dan tauladan dari apa yang berlaku. Biawak tidak akan jatuh pada lubang yang sama dan pisang tidak akan berbuah dua kali, melainkan jika anda benar-benar bodoh dan tidak siuman.

Perasaan yang hiba, sendu yang berpanjangan, penyesalan yang menggunung, mungkin itu kafarah dari dosa-dosa yang anda lakukan sewaktu anda dibuai dengan perasaan cinta yang indah. Itu juga satu ujian, bagaimana anda berlapang dada dengan apa yang terjadi, dan bersegera kembali pada Allah dan muhasabah diri anda. Sabar itu adalah kunci segala pintu yang tertutup.


Erti Kepada sahabat-sahabat yang Naive/Tidak pernah bercinta/Ragu- ragu dengan Cinta....

Jatuh cinta, tapi jangan pernah bercinta. Keduanya berbeza, laksana langit dan bumi. Konsisten dengan perasaanmu. Banyakkan beristighfar, dan jangan terlalu persistant. Berkongsi sejauh mana syariat Allah membenarkan, dan pintalah sejauh mana syariat Allah mengizinkan. Memahami pengertian cinta, bukan daripada musuh-musuh Allah tetapi dari pengertian sebenar mengikut ajaran Al-Quran dan Sunnah. Saat cinta menusuk sukmamu, mekar mewangi dalam jiwamu, carilah penawarnya didalam helai-helaian Qalamullah dan bukan daripada deretan sms. Ubatnya ada didalam kisah-kisah cinta Rasulullah dan para sahabat, bukan didalam kisah-kisah cinta Romeo dan Juliet yang direka oleh sang kuffar.

Ingat sekali lagi, cinta itu satu anugerah, jangan pernah lupa, segalanya adalah UJIAN. Pegang erat Quran dan Sunnah, InsyaAllah cinta itu kukuh dan tidak membinasakan.


Moralnya

Kepada sahabat sekalian..

Doa saya buat anda semua, semoga anda dianugerahkan calon acuan Al-Quran, yang dengan cintanya anda semakin bersemangat, semakin gigih berusaha dan bekerja untuk Islam. Mungkin anda tidak cinta padanya, tetapi saya doakan, bukannya anda mendapat cinta seperti idaman hati anda, tetapi mendapat cinta orang-orang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih dari cintanya pada anda. Semoga cinta itu bisa menyelimuti kita semua dari panas api neraka Allah.. Ameen ya Rabbal Alamin...


"Mana mungkin lahirnya bayangan yang lurus elok...Jika datangnya dari kayu yang bengkok "

No comments: